Friday 11 November 2011

Vlogging

Sejak penubuhannya, media sosial telah menarik berjuta-juta pengguna. Ramai daripada mereka telah menjadikan media sosial ini sebagai sebahagian daripada kehidupan mereka. Terdapat banyak laman media sosial yang ada pada hari ini seperti Twitter, Youtube, Facebook dan bilangannya bertambah hari demi hari. Laman media sosial ini menjadi semakin popular dalam kalangan pelajar dan profesional dalam membantu mereka berhubung sesama masyarakat secara global, menjadi medium untuk mengekspreskan diri dan lain-lain lagi.

Dalam berjuta-juta pengguna tersebut, perkataan vlogging sering diperkatakan terutamya dalam kalangan belia masa kini. Bahkan, ia semakin mendapat tempat di hati mereka mahupun yang ingin menceburinya. Perkataan vlogging tercipta daripada perkataan video blogging. Vlogging tidak jauh bezanya daripada blogging melainkan ia menggunakan video sebagai medium penyampaian. Sesiapa yang menceburi bidang vlogging ini dipanggil vloggers.

Antara vloggers yang terkenal di dalam laman sosial Youtube yang sering disebut-sebut belia di Malaysia ialah Matluthfi. Beliau merupakan pelajar jurusan Seni Bina (Architecture) di Universiti Curtin Australia yang menggunakan nama Matluthfi90 sebagai username di Youtube. Beliau mula membuka akaun Youtube pada 19 Januari 2008 dan telah memuatkan 33 buah video sehingga ke hari ini. Video pertama beliau adalah bertarikh 22 Januari 2008. Setakat hari ini, beliau telah memiliki 36350 subscribers yang mengikuti beliau.


Beliau pernah menjadi jemputan dalam rancangan Remaja di TV9. Setakat hari ini juga, beliau telah merangkul lima anugerah di dalam laman Youtube iaitu:


#59 - Most Subscribed (All Time) - Australia
#39 - Most Subscribed (This Month) - Australia
#23 - Most Subscribed (This Week) - Australia
#86 - Most Subscribed (This Month) - Australia
# 9 - Most Subscribed (This Week) - Australia


Video-video beliau adalah berkisarkan kehidupannya dan perkara-perkara yang berlaku dalam masyarakat atau di Malaysia. Apabila beliau membicarakan tentang sesuatu permasalahan, beliau akan membentuk situasi, memberikan kesan permasalahan dan cara-cara untuk mengatasinya.Beliau akan membicarakannya secara kritis dan mendalam. Beliau juga memuatkan video tentang pendapat beliau ke atas sesuatu perkara. Beliau ingin menerapkan nilai-nilai kemanusiaan dalam masyarakat dan memilih video sebagai medium kerana menganggap ia sangat berkesan dalam mengekspreskan pandangannya berbanding dalam penulisan.


Boleh saya katakan di sini, perkara yang menarik minat penonton atau pengguna untuk terpanggil melihat video-video beliau adalah kerana elemen nilai kemanusiaan yang ingin diterapkan seperti mengelakkan diskriminasi, hormat-menghormati, cintakan binatang dan alam sekitar. Aksi beliau yang lucu menarik minat penonton sekaligus menerapkan mesej-mesej positif secara kreatif, mudah diterima dan membuatkan mereka berfikir.


Video beliau yang sepatutnya mendapat kredit ialah Made By Malaysians (Promo) dan Made By MalaysiansMade By Malaysians (Promo) menerapkan nilai saling menghormati antara satu sama lain. Video ini dimuatkan pada 5 Ogos 2011 dan bertujuan untuk mengajak pengguna membuat video respons kepada video ini. Video ini telah mendapat sambutan yang di luar jangkaan Matluthfi sendiri.

Made By Malaysians (Promo)
(jika tidak dapat melihat video ini, klik sini)


Made By Malaysians merupakan kompilasi video-video respons kepada Made By Malaysians (Promo) dan telah dimuatkan di Youtube pada 26 Ogos 2011 bersempana dengan Hari Kemerdekaan Malaysia. Video ini memaparkan sebahagian rakyat Malaysia yang bersikap positif ke atas perpaduan kaum. Pada pendapat saya, ini adalah video paling ikhlas yang pernah saya lihat.


Made By Malaysians
(jika tidak dapat melihat video ini, klik sini)


Matluthfi kiranya telah menggunakan laman media sosial sebaik mungkin untuk menyeru masyarakat, Malaysia khususnya bersama-sama menerapkan nilai-nilai kemanusiaan dalam diri. Namun begitu, pelbagai kritikan dan tohmahan telah dilemparkan kepada Matluthfi melalui komen-komen di Youtube di atas dasar tidak puas hati dengan pendirian dan pendapat yang beliau ingin kongsikan bersama. Ia adalah lumrah kehidupan untuk manusia tidak akan mencapai satu pendapat yang sama. 

Bolehlah dikatakan di sini bahawa Matluthfi telah memberikan pandangan secara berkesan, mengambil kritikan secara positif, bertanggungjawab ke atas elemen yang ingin disampaikan yakni tidak bercanggah dengan agama dan nilai-nilai kemanusiaan.

Slevin (2000 :47) mengatakan internet memberikan peluang baru kepada individu dan organisasi untuk tindakbalas respons dengan membenarkan mereka memaparkan integriti mereka, mengekalkan dan membina kepercayaan orang lain ke atas tindakan mereka. Ia juga menawarkan cara baru untuk mengakses maklumat di mana-mana sahaja pada bila-bila masa. 

Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 memperuntukan di bawah Rang Jaminan MSC Malaysia (MSC Malaysia Bill of Guarantees), kerajaan Malaysia berikrar tidak akan menapis Internet. Ini membenarkan free flow of information berlaku dan ia adalah penting untuk memastikan rakyat dan negara maju selangkah ke hadapan. Namun pada 1 Mac 2010 dalam sebuah rancangan di TV3, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, kementeriannya dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang menjalankan latihan tertentu untuk menguatkuasakan undang-undang itu. Sekalipun berjanji, kononnya kerajaan tidak akan menyekat kebebasan maklumat internet, beliau berkata penguatkuasaan sedemikian perlu kerana rakyat tidak boleh menerima informasi media baru secara bulat-bulat.



Apakah yang akan berlaku sekiranya Matluthfi memberikan pendapatnya tentang isu kerajaan, parti-parti politik di Malaysia atau isu politik? Jika benar sekatan ke atas internet berlaku, idea-idea bernas beliau kemungkinan ditapis. Beliau kemungkinan dikatakan menabur fitnah kepada sesuatu pihak hanya dengan memberikan pendapat tentang isu-isu tersebut. Jika ini benar-benar berlaku, kita kemungkinan akan kehilangan seorang vloggers yang dikagumi umum.

Oleh kerana permasalahan ini, ramai belia menganggap hal-hal berkaitan kerajaan, politik atau parti-parti politik adalah satu perkara yang membosankan dan harus dibiarkan sahaja. Ini menyebabkan belia tidak mengetahui atau tidak alert ke atas permasalahan yang berlaku yang berkaitan dengan perkara tersebut. Vloggers berusaha untuk tidak berkarya dengan menyentuh elemen-elemen tersebut kerana terdapat sekatan-sekatan ini.

Namun harus diingati di sini, belia perlulah menitikberatkan nilai-nilai kemanusian dan cuba untuk mempengaruhi manusia ke arah kebaikan demi belia masa depan yang lebih baik seperti yang diterapkan Matluthfi. 






sumber video: You tube
sumber gambar: Google

yang jauh semakin dekat. .yang dekat semakin jauh. .

Kewujudan media sosial dalam kehidupan masyarakat masa kini telah merubah corak hidup kebanyakkan masyarakat. Media sosial bermaksud sebuah medium online yang membolehkan seseorang atau individu berinteraksi dan berkongsi pendapat atau pandangan dengan orang lain. Kewujudan medium ini membuka kebebasan bersuara masyarakat dengan luas. 

Media sosial seperti myspace,friendster dan kini berkembang kepada kewujudan facebook,twitter,blog dan sebagainya telah menjadi tumpuan masyarakat untuk meluaskan pengetahuan,interaksi diantara satu sama lain. Kini medium seperti facebook dan twitter cukup terkenal dan digunakan oleh ramai orang. 


Pengaruh media sosial ini telah berkembang secara pesat dalam kehidupan masyarakat masa kini. kewujudan medium ini memudahkan masyarakat dari segi interaksi dengan orang lain. Medium seperti facebook memudahkan seseorang individu meluaskan kenalan dan bertukar pendapat tanpa perlu bersemuka. Malah perkembangan media sosial ini telah menyebabkan para pengguna tidak lagi bersikap sehala seperti menjadi pembaca kepada laman-laman web tertentu bahkan medium ini membolehkan individu tersebut menyuarakan pendapat dan berkongsi pelbagai isu dengan orang lain. contohnya facebook. Facebook membolehkan individu berinteraksi dengan rakan lama mereka yang sudah lama tidak bertemu malahan, medium ini juga boleh dijadikan sebagai ruang untuk seseorang individu itu memulakan bisness dengan memuat naik gambar-gambar barangan yang mereka hendak jual.

Selain itu, jaringan seperti youtube memudahkan para pengguna untuk mempelajari tentang sesuatu perkara. Youtube juga memberi peluang kepada indivudu lain untuk berkongsi kemahiran mereka dalam mengubahsuai dan mencipta sesuatu idea baru. Namun begitu, kewujudan medium ini telah disalah gunakan oleh segelintir individu yang tidak bertanggungjawab dengan memuat naik video-video yang keterlaluan dan pada masa yang sama mengaibkan orang lain. 

Disamping itu juga, twitter juga merupakan laman yang menjadi tumpuan pengguna selain facebook. Akan tetapi penggunaanya lebih meluas berbanding facebook. Penggunaan twitter dikatakan sangat mudah berbanding Facebook. Dengan twitter pengguna hanya perlu mengemaskin status secara tidak langsung dilengkapi dengan gambar dan video. Selain itu, sekiranya berlaku kesesakan lalu lintas, twitter dijadikan medium untuk menyebarkan maklumat sedemikian kepada pengguna dengan hanya "follow" twitter berita yang ada. 

Disebalik kebaikan yang ada, media sosial ini juga turut mengundang keburukan dalam kehidupan pengguna. Secara keseluruhannya, media sosial ini menyebabkan seseorang pengguna itu semakin mengasingkan diri dengan orang disekelilingnya. "Yang jauh semakin dekat,Yang dekat semakin jauh". Pengguna yang terlalu taksub dengan media sosial ini mempunyai resiko yang tinggi untuk tidak bergaul dengan orang sekeliling kerana terlalu banyak menghabiskan masa dengan berinteraksi dalam dunia maya. keadaan ini akan menjadi bertambah serius apabila wujudnya alat-alat seperti iphone,ipad, galaxy tab yang memudahkan pengguna mengakses internet dengan mudah walau dimana mereka berada. 

selain itu, media sosial juga tidak menitikberatkan isu privasi pengguna. kebebasan pengguna memuat naik gambar dan berkongsi dengan pengguna lain yang hanya kenal di alam maya. Segala bentuk informasi atau perkongsian akan diketahui oleh orang ramai secara tidak langsung.Selalunya, ruangan ini dijadikan tempat untuk meluahkan rasa tidak puas hati kepada seseorang. Dalam tidak sedar, kita telah menyakiti hati dan perasaan orang lain. 



Kesimpulannya, pengguna harus bijak menggunakan media sosial yang wujud pada masa ini. sememangnya, media sosial ini banyak membantu pengguna dalam menjalankan kehidupan seharian akan tetapi kebergantungan terhadap medium ini sedikit sebanyak melunturkan nilai kehidupan pengguna masa ini.