Friday 11 November 2011

Vlogging

Sejak penubuhannya, media sosial telah menarik berjuta-juta pengguna. Ramai daripada mereka telah menjadikan media sosial ini sebagai sebahagian daripada kehidupan mereka. Terdapat banyak laman media sosial yang ada pada hari ini seperti Twitter, Youtube, Facebook dan bilangannya bertambah hari demi hari. Laman media sosial ini menjadi semakin popular dalam kalangan pelajar dan profesional dalam membantu mereka berhubung sesama masyarakat secara global, menjadi medium untuk mengekspreskan diri dan lain-lain lagi.

Dalam berjuta-juta pengguna tersebut, perkataan vlogging sering diperkatakan terutamya dalam kalangan belia masa kini. Bahkan, ia semakin mendapat tempat di hati mereka mahupun yang ingin menceburinya. Perkataan vlogging tercipta daripada perkataan video blogging. Vlogging tidak jauh bezanya daripada blogging melainkan ia menggunakan video sebagai medium penyampaian. Sesiapa yang menceburi bidang vlogging ini dipanggil vloggers.

Antara vloggers yang terkenal di dalam laman sosial Youtube yang sering disebut-sebut belia di Malaysia ialah Matluthfi. Beliau merupakan pelajar jurusan Seni Bina (Architecture) di Universiti Curtin Australia yang menggunakan nama Matluthfi90 sebagai username di Youtube. Beliau mula membuka akaun Youtube pada 19 Januari 2008 dan telah memuatkan 33 buah video sehingga ke hari ini. Video pertama beliau adalah bertarikh 22 Januari 2008. Setakat hari ini, beliau telah memiliki 36350 subscribers yang mengikuti beliau.


Beliau pernah menjadi jemputan dalam rancangan Remaja di TV9. Setakat hari ini juga, beliau telah merangkul lima anugerah di dalam laman Youtube iaitu:


#59 - Most Subscribed (All Time) - Australia
#39 - Most Subscribed (This Month) - Australia
#23 - Most Subscribed (This Week) - Australia
#86 - Most Subscribed (This Month) - Australia
# 9 - Most Subscribed (This Week) - Australia


Video-video beliau adalah berkisarkan kehidupannya dan perkara-perkara yang berlaku dalam masyarakat atau di Malaysia. Apabila beliau membicarakan tentang sesuatu permasalahan, beliau akan membentuk situasi, memberikan kesan permasalahan dan cara-cara untuk mengatasinya.Beliau akan membicarakannya secara kritis dan mendalam. Beliau juga memuatkan video tentang pendapat beliau ke atas sesuatu perkara. Beliau ingin menerapkan nilai-nilai kemanusiaan dalam masyarakat dan memilih video sebagai medium kerana menganggap ia sangat berkesan dalam mengekspreskan pandangannya berbanding dalam penulisan.


Boleh saya katakan di sini, perkara yang menarik minat penonton atau pengguna untuk terpanggil melihat video-video beliau adalah kerana elemen nilai kemanusiaan yang ingin diterapkan seperti mengelakkan diskriminasi, hormat-menghormati, cintakan binatang dan alam sekitar. Aksi beliau yang lucu menarik minat penonton sekaligus menerapkan mesej-mesej positif secara kreatif, mudah diterima dan membuatkan mereka berfikir.


Video beliau yang sepatutnya mendapat kredit ialah Made By Malaysians (Promo) dan Made By MalaysiansMade By Malaysians (Promo) menerapkan nilai saling menghormati antara satu sama lain. Video ini dimuatkan pada 5 Ogos 2011 dan bertujuan untuk mengajak pengguna membuat video respons kepada video ini. Video ini telah mendapat sambutan yang di luar jangkaan Matluthfi sendiri.

Made By Malaysians (Promo)
(jika tidak dapat melihat video ini, klik sini)


Made By Malaysians merupakan kompilasi video-video respons kepada Made By Malaysians (Promo) dan telah dimuatkan di Youtube pada 26 Ogos 2011 bersempana dengan Hari Kemerdekaan Malaysia. Video ini memaparkan sebahagian rakyat Malaysia yang bersikap positif ke atas perpaduan kaum. Pada pendapat saya, ini adalah video paling ikhlas yang pernah saya lihat.


Made By Malaysians
(jika tidak dapat melihat video ini, klik sini)


Matluthfi kiranya telah menggunakan laman media sosial sebaik mungkin untuk menyeru masyarakat, Malaysia khususnya bersama-sama menerapkan nilai-nilai kemanusiaan dalam diri. Namun begitu, pelbagai kritikan dan tohmahan telah dilemparkan kepada Matluthfi melalui komen-komen di Youtube di atas dasar tidak puas hati dengan pendirian dan pendapat yang beliau ingin kongsikan bersama. Ia adalah lumrah kehidupan untuk manusia tidak akan mencapai satu pendapat yang sama. 

Bolehlah dikatakan di sini bahawa Matluthfi telah memberikan pandangan secara berkesan, mengambil kritikan secara positif, bertanggungjawab ke atas elemen yang ingin disampaikan yakni tidak bercanggah dengan agama dan nilai-nilai kemanusiaan.

Slevin (2000 :47) mengatakan internet memberikan peluang baru kepada individu dan organisasi untuk tindakbalas respons dengan membenarkan mereka memaparkan integriti mereka, mengekalkan dan membina kepercayaan orang lain ke atas tindakan mereka. Ia juga menawarkan cara baru untuk mengakses maklumat di mana-mana sahaja pada bila-bila masa. 

Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 memperuntukan di bawah Rang Jaminan MSC Malaysia (MSC Malaysia Bill of Guarantees), kerajaan Malaysia berikrar tidak akan menapis Internet. Ini membenarkan free flow of information berlaku dan ia adalah penting untuk memastikan rakyat dan negara maju selangkah ke hadapan. Namun pada 1 Mac 2010 dalam sebuah rancangan di TV3, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, kementeriannya dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang menjalankan latihan tertentu untuk menguatkuasakan undang-undang itu. Sekalipun berjanji, kononnya kerajaan tidak akan menyekat kebebasan maklumat internet, beliau berkata penguatkuasaan sedemikian perlu kerana rakyat tidak boleh menerima informasi media baru secara bulat-bulat.



Apakah yang akan berlaku sekiranya Matluthfi memberikan pendapatnya tentang isu kerajaan, parti-parti politik di Malaysia atau isu politik? Jika benar sekatan ke atas internet berlaku, idea-idea bernas beliau kemungkinan ditapis. Beliau kemungkinan dikatakan menabur fitnah kepada sesuatu pihak hanya dengan memberikan pendapat tentang isu-isu tersebut. Jika ini benar-benar berlaku, kita kemungkinan akan kehilangan seorang vloggers yang dikagumi umum.

Oleh kerana permasalahan ini, ramai belia menganggap hal-hal berkaitan kerajaan, politik atau parti-parti politik adalah satu perkara yang membosankan dan harus dibiarkan sahaja. Ini menyebabkan belia tidak mengetahui atau tidak alert ke atas permasalahan yang berlaku yang berkaitan dengan perkara tersebut. Vloggers berusaha untuk tidak berkarya dengan menyentuh elemen-elemen tersebut kerana terdapat sekatan-sekatan ini.

Namun harus diingati di sini, belia perlulah menitikberatkan nilai-nilai kemanusian dan cuba untuk mempengaruhi manusia ke arah kebaikan demi belia masa depan yang lebih baik seperti yang diterapkan Matluthfi. 






sumber video: You tube
sumber gambar: Google

3 comments:

  1. thanks for posting this coz u make me think. sbb tu la xbyk pon yg minat buat vlog cerita psl parti politik..lebih2 lg belia..aku setuju ape ko ckp..mgkn sbb dorg rase politik tu kotor..bosan..mls nk amik kisah..fed-up..takot isa..bla bla bla..byk sgt sekatan..tp kredit patot diberikan kpd vloggers mcm matlutfi tu..sbb die byk bg pengaruh kpd belia ke arah kebaikan..teruskan menulis..

    ReplyDelete